Organisasi sosial Anai-anai

Kitaran hidup anai-anai adalah kompleks kerana ia hidup dalam kasta. Bermula dengan raja dan permaisurinya yang menghasilkan beribu-ribu telur dan menetaskannya. Ribuan anak anai-anai kemudiannya menjadi pekerja, askar atau kadang-kala menjadi kelekatu (anai-anai bersayap).

Kelekatu ini juga dikenali sebagai kasta pembiakan dengan mata yang telah berkembang baik berbanding kasta anai-anai lain. Kelekatu yang bersayap ini juga mempunyai jantina. Kelekatu akan keluar dari sarang dan terbang pada waktu senja terutamanya selepas hari hujan, mencari habitat baru dan kemudiannya menjadi raja dan permaisuri serta membina koloni baru.

Anai-anai pekerja biasanya tidak bersayap, mandul dan buta. Anai-anai askar juga tidak bersayap dan mandul tetapi mempunyai kepala dengan mandibel (bahagian mulut serangga) yang kuat untuk menggigit bagi mempertahankan koloni.

Selain itu, anai-anai peringkat rendah terpaksa bersimbiosis dengan protozoa dan bakteria untuk menghadamkan kayu yang dimakan. Manakala anai-anai peringkat tinggi seperti anai-anai busut menggunakan kultur kulat untuk penghadaman dan pada masa tertentu cendawan busut akan keluar dari sarang anai-anai ini.

Kebanyakan anai-anai makan secara trofalaksis iaitu askar akan memberi pekerja makan, sama ada dari mulut ke mulut atau anus (dubur) ke mulut.